SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM, SKM PVMA DAN STPM 2026
Daripada Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saya ingin merakamkan ucapan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) 2026 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026 di seluruh daerah Kota Tinggi.
Peperiksaan yang bakal ditempuhi ini merupakan medan untuk menterjemahkan segala usaha, pengorbanan, disiplin dan kesungguhan yang telah dicurahkan selama ini. Saya percaya setiap calon telah melalui perjalanan pembelajaran yang panjang dengan bimbingan dan sokongan para guru, ibu bapa serta seluruh warga sekolah.
Anak-anak calon yang dikasihi,
Hadapilah setiap kertas peperiksaan dengan penuh keyakinan, ketenangan dan semangat juang yang tinggi. Percayalah kepada kemampuan diri sendiri. Jangan biarkan rasa takut, tekanan atau keraguan mengatasi segala persediaan yang telah dilakukan.
Ingatlah bahawa kejayaan bukan sekadar ditentukan oleh kecerdasan, tetapi turut dibentuk oleh disiplin, kesungguhan, ketabahan dan keberanian untuk terus berusaha.
Saya ingin menitipkan satu kata-kata inspirasi:
“Jangan ukur kejayaan hanya berdasarkan sejauh mana tingginya impian yang ingin dicapai, tetapi ukurlah melalui kesungguhan, ketekunan dan keberanian untuk melangkah sehingga impian itu menjadi kenyataan.”
Saya juga ingin mengingatkan semua calon agar sentiasa menjaga kesihatan, mendapatkan rehat yang mencukupi, mematuhi jadual peperiksaan, hadir awal ke pusat peperiksaan dan menjawab setiap soalan dengan teliti serta bersungguh-sungguh.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru, ibu bapa, penjaga dan seluruh warga sekolah atas komitmen, pengorbanan serta doa yang tidak pernah putus dalam memastikan anak-anak kita bersedia menghadapi peperiksaan ini.
Akhir kata, saya mendoakan agar seluruh calon daerah Kota Tinggi dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan fikiran, kelapangan hati dan kemudahan sepanjang menghadapi peperiksaan.
Berikan yang terbaik. Percaya pada potensi diri. Buktikan kemampuan dengan usaha dan tawakal.
Semoga segala usaha membuahkan kejayaan yang cemerlang dan menjadi permulaan kepada perjalanan masa depan yang lebih gemilang.
Kita bukan sekadar mahu melahirkan calon yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak dan bersedia memimpin masa hadapan.
KOTA TINGGI MENGUNGGULI, SEHATI MEMPERKASA MANUSIAWI MEMARTABAT INSANI.
Sekian, terima kasih.
AZMAN BIN SAFII
Pegawai Pendidikan Daerah
Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi
