Pada 1 Januari 2026, SMK Tun Habab telah menjadi tuan rumah bagi Kursus Pemantapan Kemahiran Asas Sains Pembantu Makmal Daerah Kota Tinggi Bil.1/2026. Program yang berlangsung pada hari Khamis tersebut telah diadakan di dua lokasi utama iaitu Dewan Seminar Tun Seri Lanang dan Makmal Fizik, SMK Tun Habab.
Kursus ini merupakan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Makmal Daerah Kota Tinggi (BAKTI) dengan kerjasama erat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi. Matlamat utama program adalah untuk memperkasakan kompetensi dan kemahiran teknikal pembantu makmal demi memastikan pengurusan sains sekolah di daerah ini sentiasa di tahap cemerlang. SMK Tun Habab sebagai tuan rumah komited dalam menyokong program peningkatan profesionalisme seperti ini bagi memastikan ekosistem pembelajaran sains yang berkualiti.
Sepanjang program ini, peserta telah menjalani sesi teori dan asas pengetahuan penyediaan bahan kimia dan larutan piawai, kaedah pengiraan kepekatan untuk bancuhan, cara pengurusan dan pengendalian bahan sains di makmal. Manakala di Makmal Fizik pula, para pesrta menjalani sesi praktikal dan teknik pengendalian penunu bunsen serta kaedah penyelenggaraan penunu bunsen di makmal.
Majlis diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan pendidikan daerah Kota Tinggi yang terdiri daripada Encik Zamri bin Safri (Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah), Encik Jasni bin Omar (Pegawai SISC+ Sains dan Matematik) dan Puan Norzianah binti Ngadiman (mewakili pengetua SMK Tun Habab).
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur atas kepercayaan memilih SMK Tun Habab sebagai tuan rumah. Semoga ilmu yang ditimba dapat diaplikasikan dalam memantapkan kemahiran asas sains Pembantu Makmal di Daerah Kota Tinggi.
“Kemahiran teknikal yang mantap adalah tunjang kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sains di sekolah”.
