Busana Hati

Project Description

Client
 Busana Hati adalah himpunan puisi, sajak, pantun dan seloka yang pernah diterbitkan.

 MENGHARUM JASA DI TAMAN SYURGA

Dibacakan oleh pengetua, Encik Anuar bin Sukiran
Sempena majlis persaraan Hajah Rokiah binti Khamis pada 12 Januari 2017 di Dewan Seri Tun Habab, Kota Tinggi, Johor

 

Dengan rahmat Rabbul Izzati,
Izinkan saya bergurindam berperi.

 
Hajah Rokiah guru yang dedikasi,
Ketiadaannya amat kita rasai.

 
Siddiq, amanah, tabligh, fatanah,
Peribadi Rasululllah cerminan dirinya.

 
Dalam kelembutan tersisip ketegasan,
Tak dapat pelajar mengambil kesempatan.

 
Sebarang tugas diberikan kepadanya,
Tak pernah berkata, “Ini bukan tugas saya.”

 
Apa-apa tugas walau tergalang,
Baginya bukan batu penghalang.

 
Mengajar STPM bukannya mudah,
Namun dirinya tak pernah mengalah.

 
Jika disuruh berucap berceramah,
Tak pernah dia penat dan lelah.

 
Langkahnya laju, aktif, dan cergas,
Bagai tenaga gadis usia tujuh belas.

 
Gigih dan teliti budaya kerjanya,
Apa-apa dibuat cemerlang hasilnya.

 
Bersikap keibuan mendidik pelajar,
Tak pernah jemu menunjuk ajar.

 
Guru-guru juga merujuk kepadanya,
Meminta pendapat serta tunjuk cara.

 
Sanggup berkorban demi pelajar,
Bukan kelas sendiri pun, dia sanggup ajar.

 
Bersuara emas bukan kepalang,
Intonasi pelbagai, jelas, dan lantang.

 
Mematuhi pemimpin kalimat yang masyhur,
Katanya, “Ini arahan, kita kena akur.”

 
Ramah menyapa bertanya khabar,
Selalu berpesan, berbanyak-banyak sabar.

 
Membuat persediaan sebelum berucap,
Cakapnya berisi rujukannya mantap.

 
Tazkirah agama jika diperuntuk,
Ustaz ustazah pun terangguk-angguk.

 

Gigih melatih aktiviti kokurikulum,
Bahasa, pidato, habis dia pulun.

 
Murah hati suka berderma,
Sumbangan dipohon pasti diberinya.

 
Pengajian Am subjek dikuasai,
Ilmunya cair di hujung jari.

 
Menyambut pelajar kesukaannya yang jelas,
Walaupun bukan minggu bertugas.

 
Berani menegur berterus terang,
Supaya dibaiki apa-apa yang kurang.

 
Daya kepimpinan amat menyerlah,
Sukar dicari silap dan salah.

 
Kerja sepasukan dijadikan budaya,
Selangkah seiring sederap bersama.

 
Apabila ada perjumpaan dan mesyuarat,
Tak pernah terlewat walau sesaat.

 
Pengerusi KGK pernah disandangnya,
Semuanya okey, rakan-rakan gembira.

 
Lembaga Pengawas dia meneraju,
Disiplin pelajar mantap dan jitu.

 
Merentas bidang dia bekerja,
Teknik Vokasional, Sains, Kemanusiaan , dan Bahasa.

 
Anugerah sekolah kluster sebelum diperoleh,
Pagi petang bekerja, datang malam pun boleh.

 
Mewujudkan Bilik Persada Angkasa bidang sainslah tentu,
Sepenuh tenaga dia datang membantu.

 
Kalau dilihat caranya berkhidmat,
Terasa macam tak tahu penat.

 
Di raut wajahnya terpancar keikhlasan,
Di taman sukmanya mengharum ketulusan.

 
Demikian kisah empunya diri,
Banyak lagi keistimewaan, jika ditelusuri,

 
Sudah bersara sihat sentiasa,
Apakah petua apakah rahsia?

 
Walaupun jauh dari pandangan,
SMK Tun Habab usah dilupakan.

 
Mengharum jasa di taman syurga,
Di ruang ingatan sesaat tak lupa.

 
Guru dan pelajar memohon kemaafan,
Semoga masih ada pertemuan.

 
Tinta keikhlasan,
MOHD KASIM MAHMUD
8 JANUARI 2017

 

 

 

 

 

 

 

 

 

This template supports the sidebar's widgets. Add one or use Full Width layout.