Minda Bestari

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah,  setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpahan rahmat dan inayah-Nya, maka kita telah sama-sama berjaya melabuhkan tirai pendidikan  2016 dengan pelbagai kejayaan dan penganugerahan.  Kita amat bersyukur kerana   kita diberikan pelbagai anugerah dan penghargaan sepanjang tahun 2016,  Kita telah pun  berusaha  pada tahun 2016  untuk melepasi Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan.  Kini, wacana pendidikan 2017 kita mulai dengan harapan dan iltizam yang tinggi serta  keyakinan yang jitu bahawa kita akan sama-sama menggembleng tenaga dan menjana idea bagi memastikan kita berada di landasan yang betul demi untuk melestarikan  kecemerlangan SMK Tun Habab sepertimana yang kita harapkan.

Sebagai penjana transformasi pendidikan,  kita seharusnya sentiasa peka dan sedar bahawa cabaran dalam dunia pendidikan kini kian berganda. Kita seharusnya mampu bertindak sebagai “murabb”i yang peka dan sentiasa responsif terhadap transformasi pendidikan mutakhir yang dirangka melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang merangkumi pendidikan Prasekolah hingga Lepasan Menengah.  Berdasarkan sebelas anjakan sistem dan anjakan strategi yang utama,Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.  Dalam hal ini, kitalah teraju utama yang bakal memastikan hasrat murni kerajaan itu dapat direalisasikan kerana gurulah pelaksana sistem pendidikan itu. Hakikatnya kita  mempunyai keupayaan atau kapasiti untuk mencapai kehebatan itu.  Namun demikian,  usaha-usaha yang dinamik harus sentiasa difikirkan dan dilaksanakan secara bersepadu,  di samping doa yang tidak pernah putus ke hadrat Allah SWT agar kita diberikan taufik dan hidayah agar kita mampu meletakkan diri sebaris dengan sekolah-sekolah terbaik di peringkat global

Sehubungan dengan itu, kita harus menyedari bahawa masih banyak ruang kosong yang perlu dipenuhi , masih banyak ketirisan yang perlu ditampung dan masih banyak kekurangan yang  memerlukan penambahbaikan. Kita juga sewajarnya menyedari akan tanggungjawab besar yang harus dipikul iaitu untuk meningkjatkan  pencapaian akademik kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama   meninta kata dalam irama yang sama, melangkah dengan derap yang sekata dengan berpandukan indikator yang menjurus ke arah pencapaian aspirasi negara iaitu untuk melahirkan modal  insan syumul dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara secara aktif dan seterusnya berupaya membina masa depan Malaysia yang gemilang. Marilah  kita meneruskan  amalan budaya  kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah, berinovasi, dan bermotivasi serta  semangat mujahadah setiap  daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.
Akhir kata , ingin saya titipkan mutiara kata cendekiawan :Kejayaan tidak boleh diukur dengan kedudukan yang dicapai seseorang tetapi melalui halangan-halangan yang ditempuhinya..  Sebaliknya, kita tidak boleh berjaya sekiranya kita mengatakan kita akan gagal.  Oleh hal yang demikian, jika kita tidak dapat terbang, maka berlarilah. Jika kita tidak dapat berlari, maka berjalanlah. Jika kita tidak dapat berjalan, maka merangkaklah.Tapi ingatlah, apapun yang kita lakukan, tetaplah melangkah maju. Bagi kita warga SMK Tun Habab, yakinlah dan pastikan slogan kita “Glorious Tun Habab” dapat kita realisasikan.

Sustaining Together For Excellence

Bersama-sama Melestarikan Kecemerlangan

 

Sekian, wassalam.

ZAKARIA BIN ABD.JALIL
PENGETUA SMK TUN HABAB
JOHOR